Anwar Ibrahim berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan di Muar.
MUAR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegur kelembapan pembangunan rumah rakyat di Johor, sambil menegaskan dasar pembangunan negeri perlu memberi lebih tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada kelompok berpendapatan tinggi, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan rakyat biasa yang bergantung kepada rumah mampu milik dan kemudahan asas.
“Mengapa Johor lembab dalam membangunkan rumah bagi rakyat? Sebab itu saya nak ada perubahan di negeri Johor. Kita kena tumpu ke bawah,” katanya ketika berucap pada program Temu Anwar Johor Ke Depan di Muar.
Anwar berkata kerajaan persekutuan sedang melaksanakan pendekatan lebih inklusif, termasuk menerusi program Residensi Madani yang menyasarkan pembinaan puluhan ribu unit kediaman untuk golongan muda dan berpendapatan rendah.
Katanya, harga rumah di Johor Bahru kini semakin tinggi sehingga menyukarkan anak muda dan keluarga baharu memiliki kediaman sendiri.
“Jadi sebab itu rancangan negeri ini kena baik. Baru seiring dengan pusat dan kita kena berkawan, hormat-menghormati satu sama lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan kerajaan sedang menambah baik sistem imigresen di pintu masuk Johor-Singapura bagi mengurangkan kesesakan yang sekian lama menjadi isu di laluan itu.
Beliau berkata, penambahbaikan itu sedang diperhalusi Kementerian Dalam Negeri bersama Jabatan Imigresen Malaysia, dengan sasaran pelaksanaan sistem baharu sekitar Januari depan.
“Sekarang sudah lebih baik berbanding dua tiga tahun lepas, tetapi masih ada isu yang perlu diselesaikan. Kita serius nak selesaikan masalah ini,” katanya.
Anwar berkata, usaha itu turut dibincangkan bersama rakan sejawatnya dari Singapura bagi memastikan penyelesaian lebih menyeluruh di sempadan kedua-dua negara.


