Onn Hafiz Ghazi nafi bangkitkan isu pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk menyalahkan mana-mana pihak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi mendakwa pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ialah dokumen Kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan Singapura.
Beliau dalam kenyataan berkata proses libat urus serta maklum balas daripada kerajaan Singapura telah selesai dan hanya menunggu pelancaran oleh Putrajaya.
“Yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh kementerian atau pada majlis diputuskan kerajaan persekutuan Malaysia.
“Sebab itu saya berpandangan apabila perdana menteri (Anwar Ibrahim) menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat dan seterusnya memerlukan tandatangan perdana menteri dari kedua belah pihak, kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat,” katanya.
Onn Hafiz menjelaskan beliau membangkitkan perkara itu bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya tanggungjawab untuk memastikan inisiatif itu dilaksanakan mengikut jadual serta memberi keyakinan kepada pelabur.
Semalam Anwar menegur Onn Hafiz yang menggunakan JS-SEZ sebagai bahan kempen PRN Johor 11 Julai dan menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘tidak cerdik’.
Menurutnya, tandatangan berkaitan JS-SEZ masih di antara perdana menteri Malaysia dan Singapura, dan belum sampai ke tahap menteri besar.
Jelasnya, projek kerjasama Putrajaya dan Johor itu juga sedang berjalan dengan belanja yang tinggi, serta menerima bantuan daripada kerajaan pusat.
JS-SEZ adalah inisiatif ekonomi rentas sempadan utama antara Malaysia dan Singapura.
Pada 1 Julai lalu, selepas forum eksekutif JS-SEZ, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengumumkan pelan induk dan pelan tindakan JS-SEZ dijangka dilancarkan pada suku keempat 2026.
Menurutnya, dokumen itu telah disediakan, dan agensi kerajaan kini berusaha melaksanakan pelaburan yang dijanjikan bagi zon ekonomi tersebut.
Keesokannya, Onn Hafiz yang juga menteri besar Johor mendakwa kerajaan persekutuan berulang kali menangguhkan pelancaran pelan induk JS-SEZ, mengatakan pada asalnya pelan itu disasarkan untuk diumum pada penghujung 2025, kemudian pada 30 Mac tahun ini.


