KKM kata sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan dilindungi dengan kawalan keselamatan siber yang ketat.
PETALING JAYA: Capaian portal rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) dihentikan sementara bagi membolehkan pengukuhan kawalan keselamatan siber dilaksanakan.
Pemakluman ini menyusuli laporan Bernama 27 Jun lalu, bahawa portal rasmi KKM mengalami gangguan akses dipercayai berpunca daripada insiden keselamatan siber.
KKM hari ini berkata tiada petunjuk bahawa insiden berkenaan menjejaskan sistem kritikal atau mengakibatkan kebocoran data kritikal, setakat ini.
Menurutnya, portal itu tidak menyimpan rekod perubatan pesakit atau data kesihatan individu, dan hanya digunakan bagi penyampaian maklumat korporat dan maklumat awam.
“Sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan KKM terus beroperasi seperti biasa dan dilindungi melalui infrastruktur yang berasingan dengan kawalan keselamatan siber yang ketat,” menurut kenyataan.
KKM berkata siasatan dan tindakan pemulihan sedang dijalankan.
“KKM kekal komited memastikan keselamatan aset digital kementerian serta kelangsungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.


