Mahkamah Persekutuan menolak permohonan pemohon mendapatkan kebenaran merayu untuk mencabar pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 oleh kerajaan, dan diperintahkan membayar kos RM25,000 setiap seorang kepada kerajaan dan UM.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan dua kumpulan untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam usaha mencabar pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 oleh kerajaan yang dilaksanakan lima tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Rhodzariah Bujang memutuskan bahawa isu undang-undang yang dibangkitkan oleh pemohon tidak mempunyai kepentingan awam yang mencukupi untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Turut bersidang Hakim Ahmad Terrirudin Salleh dan Azmi Ariffin.
Pemohon terdiri daripada kakitangan akademik dan pentadbiran Universiti Malaya (UM) serta guru sekolah kerajaan.
Mahkamah mengarahkan pemohon membayar kos RM25,000 setiap seorang kepada kerajaan dan UM.
Kumpulan itu berhujah bahawa keputusan kerajaan melaksanakan vaksinasi adalah tidak sah, tidak munasabah dan tidak berperlembagaan kerana dibuat tanpa persetujuan mereka.
Mereka turut mendakwa telah didiskriminasi dan dilayan secara tidak adil kerana tidak mengambil vaksin.
Dalam menolak permohonan semakan kehakiman itu, Mahkamah Tinggi berkata bahawa langkah-langkah yang digubal oleh kerajaan adalah perlu memandangkan penularan virus Covid-19 di seluruh dunia telah mencetuskan pandemik global.
Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, yang turut menyatakan bahawa pemohon gagal mengemukakan laporan perubatan yang menunjukkan mereka wajar dikecualikan daripada menerima vaksin.
Peguam Amin Anuar dan Adrian Yeow mewakili kumpulan tersebut, manakala Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Siti Norashikin Hassanor mewakili kerajaan.
Peguam Melanie Lim dan Raja Eileen Soraya Raja Aman mewakili pendaftar UM.
