Presiden AS Donald Trump mendakwa Iran mungkin tidak akan belajar daripada kesilapan. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu mengancam akan mengambil tindakan ketenteraan lanjut terhadap Iran, selepas pesawat tentera AS menyerang tapak penyimpanan peluru berpandu dan dron serta kedudukan radar pantai negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
“Pesawat AS baru menyerang lokasi penyimpanan peluru berpandu dan dron Iran serta tapak radar pantai kerana melanggar perjanjian gencatan senjata sekali lagi!
“Mereka berkemungkinan tidak akan belajar daripada kesilapan!” tulis Trump di platform Truth Social.
Beliau berkata, Washington mungkin sampai ke satu tahap apabila ia “tidak lagi mampu bertolak ansur” dan “terpaksa menyempurnakan secara ketenteraan apa yang telah kami mulakan dengan begitu berjaya”.
“Jika itu berlaku, Iran tidak akan wujud lagi!” katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas Komando Pusat Tentera AS memaklumkan serangan tambahan dilancarkan ke atas beberapa sasaran di Iran pada Sabtu susulan dakwaan Tehran menyerang sebuah kapal tangki berdaftar Panama dekat Selat Hormuz.

