Calon Amanah di Permas Sharon Teo menemui pengundi di sebuah kedai kopi Cina di Masai malam tadi.
PERMAS: Suasana makan malam di sebuah kedai kopi Cina di Masai dipenuhi pengundi yang ingin mendengar Sharon Teo dari Amanah, calon Cina kedua parti itu sejak ia ditubuhkan.
Teo yang berbaju kurung merah, diberikan tepukan gemuruh ketika melalui kedai kopi itu sambil menyapa pengunjung sebelum naik ke pentas.
Wanita berusia 37 tahun itu bertanding di kerusi Permas dengan majoriti pengundi Melayu, di mana kira-kira 47% pengundi adalah bukan Melayu. Beliau berdepan Baharudin Taib dari Barisan Nasional, yang dalam misi mempertahankan kerusi itu, calon Perikatan Nasional, T Vela dan calon Bersama, Dr Zamil Najwah Arbain.
“Permas ialah kerusi campuran. Saya tahu masalah di sini. Kebimbangan terbesar ialah infrastruktur, kesesakan lalu lintas dan jalan berlubang yang belum selesai,” kata Teo, bekas pembantu Allahyarham Salahuddin Ayub, timbalan presiden Amanah.
“Semasa saya datang ke Masai, ramai penduduk mengadu jalan rosak hanya ditampal, tidak dibaiki dengan baik. Pengundi mahu lihat penambahbaikan,” katanya kepada media.
Seorang lelaki hanya mahu dikenali Sivaraj berkata, beliau akan mengundi Teo.
“Saya puas hati dengan Pakatan Harapan. Tetapi, saya akan dengar apa yang beliau katakan semasa berkempen,” katanya sambil menambah beliau sudah mula mengikuti Teo di Facebook.
Seorang pengundi dikenali Lee yang juga suri rumah berusia 58 tahun berkata, keluarganya akan menyokong PH.
“Kami tiada masalah dengan Amanah. Beliau sudah dapat sokongan saya, tetapi kami ingin tahu apa yang akan dilakukannya jika menang.”
Amanah meletakkan calon Cina pertamanya, Tan Seng Toh di kerusi DUN Ayer Kuning, Perak pada 2018.

