Sebelum ini, SKMM menafikan dakwaan ia menyekat satu laporan berita mengenai kes mahkamah melibatkan Wan Azri Wan Deris dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
PETALING JAYA: Penulis blog Wan Azri Wan Deris dilarang menerbitkan pernyataan berunsur fitnah terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau menyebarkan kandungan memudaratkan dalam talian susulan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan perintah injunksi interim ex-parte terhadapnya.
SKMM berkata, perintah interim itu susulan notis tuntutan pihaknya kepada Wan Azri yang dikeluarkan pada 9 April lalu, yang turut tidak membenarkan pengeluaran kenyataan ke atas SKMM sama ada melalui akaun sedia ada atau akaun baharu untuk menyebar kandungan palsu dan mengelirukan.
Perintah injunksi interim berkenaan akan terus berkuat kuasa sehingga pendengaran interpartes atau arahan lanjut oleh mahkamah, katanya dalam kenyataan.
Menurut pengawal selia internet itu, tindakan sivil berkenaan berpunca daripada notis tuntutan dikemukakan ke atas Wan Azri selepas dia mendakwa SKMM telah menyekat satu laporan MalaysiaGazette.
Laporan berita berkenaan adalah berkaitan dengan kes mahkamah melibatkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Wan Azri.
Sebelum ini, SKMM menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan pihak mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang permintaan atau arahan kepada mana-mana organisasi media atau platform digital untuk menurunkan kandungan dimaksudkan.


