Tertuduh, P Kogilanathan, 27, didakwa di Mahkamah Majistret Jasin terhadap dua pertuduhan berasingan iaitu membunuh peniaga di hadapan sebuah kedai gunting rambut dan memandu secara melulu dan berbahaya. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Jasin terhadap dua pertuduhan berasingan iaitu membunuh peniaga di hadapan sebuah kedai gunting rambut dan memandu secara melulu dan berbahaya, dua tahun lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, P Kogilanathan, 27, bagi pertuduhan membunuh sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin, menurut Harian Metro.
Ini kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia bersama-sama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh M Vinurd, 24, di hadapan Navisha Hairdressing Salon, Jalan Rim Baru, Taman Rim Baru, dalam daerah Jasin antara 8.39 malam hingga 11 malam pada 25 Ogos 2024.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Yusri mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Nur Aida Md Zainuddin.
Di hadapan majisret sama juga, dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu sebuah kereta bernombor pendaftaran WUR 1327 secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kedai aksesori, Taman Asia Selatan, dalam daerah Jasin pada 7.30 malam, 4 Mac 2024.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun dari tarikh sabitan.
Bagi pertuduhan itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000.
Bagaimanapun, Nur Aida merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan selain mengalami patah tulang belakang.
Beliau turut memaklumkan bapa tertuduh menghidap penyakit jantung manakala ibunya pula menghidap diabetes.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000, namun dia kekal ditahan sehingga sebutan semula kes pada 26 Ogos depan sementara menunggu laporan forensik.


