Eddin Khoo memuji kesediaan Zambry Abdul Kadir untuk menerima laporan pasukan petugas UEC.
PETALING JAYA: Laporan mengenai kebolehlaksanaan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dijangka diserahkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menjelang akhir Julai, kata bekas pengerusi pasukan petugas, Eddin Khoo.
Khoo memuji keterbukaan Zambry untuk menerima laporan itu, sambil membandingkannya dengan menteri pendidikan pentadbiran terdahulu dan semasa yang didakwanya telah mengelirukan mengenai status laporan serta pasukan petugas berkenaan.
“Saya akan menyerahkannya pada akhir Julai, tetapi Zambry sudah bertemu dengan saya dan beliau bersedia menerimanya,” katanya pada forum anjuran Allianz Centre for Governance bertajuk ‘Nation-building and Inclusion in Higher Education: Looking at Higher Education Entrance Requirements’ malam tadi.
Apabila Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pada 2018, ia menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk mendapatkan pandangan berhubung pengiktirafan UEC, yang merupakan antara janji pilihan rayanya pada PRU14.
Pasukan itu dipengerusikan oleh Khoo dan turut dianggotai bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Raimi Abdul Rahim, serta bekas timbalan presiden Dong Zong, Tan Yew Sing.
Usaha pasukan itu tergendala susulan pertukaran kerajaan pada 2020, walaupun jawatankuasa tersebut dilaporkan telah menyiapkan laporannya. Menteri pendidikan ketika itu, Radzi Jidin, kemudian berkata tiada laporan pernah diserahkan dan pasukan petugas itu telah dibubarkan pada 29 Feb tahun berkenaan.
Dalam forum itu, Khoo menggariskan beberapa cadangan dalam laporan tersebut, termasuk mewajibkan pemegang UEC yang ingin memasuki universiti awam lulus mata pelajaran seperti Sejarah dan Pendidikan Sivik, selain memperoleh kepujian dalam Bahasa Melayu SPM.
“Gabungkan semua perkara itu dan kita memperkenalkan sesuatu yang saya fikir amat penting untuk sistem pendidikan kita, tetapi kini sudah diketepikan iaitu Kertas Am.
“Ambil Kertas Am, dapatkan kepujian dalam BM dan anda boleh masuk. Selebihnya hanyalah isu taktikal… kuota dan perkara-perkara seperti itu boleh dibincangkan,” katanya.
Kertas Am, yang lazimnya dikaitkan dengan sistem Cambridge A-Level, menguji keupayaan pelajar berfikir secara kritis dan menulis secara analitikal mengenai topik umum seperti masyarakat, politik dan isu semasa, berbanding menilai pengetahuan dalam subjek tertentu. Di Malaysia, subjek yang setara dengannya ialah Pengajian Am, yang masih diwajibkan dalam STPM.
Khoo berkata beliau tidak bersetuju dengan amalan semasa yang menyaksikan pelajar UEC menduduki peperiksaan SPM serentak dengan peperiksaan UEC, yang disifatkannya sebagai sistem ‘dua landasan’.
Mengimbas pengalamannya sebagai pensyarah di Universiti Malaya, beliau berkata seorang bekas pelajar UEC mampu memberikan definisi kamus bagi sesuatu perkataan tetapi sukar menggunakannya dalam konteks yang betul.
“Saya akan bertanya, apakah maksud perkataan yang digunakan? Dan dia akan memberikan definisi kamus bagi perkataan itu, tetapi tidak tahu bagaimana menggunakannya,” katanya.
Bagaimanapun, cadangan memperkenalkan Kertas Am itu ditolak oleh Dong Zong, tambahnya.
“Dong Zong menolaknya. Mereka tidak mahukan Kertas Am. Kepujian sahaja sudah memadai,” kata Khoo.


