Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga menunaikan janji dengan menurunkan harga minyak walaupun berdepan pelbagai cabaran. (Gambar Bernama)
KULAI: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelbagai program bantuan yang diperkenalkan kerajaan adalah bukti usaha pentadbiran Madani dalam meringankan kos sara hidup rakyat.
Pada perhimpunan belia hari ini, Anwar berkata kerajaan pimpinannya memperkukuh penyaluran bantuan tunai dan memperluaskan sokongan kepada golongan berpendapatan rendah sejak mengambil alih pentadbiran pada 2022.
Beliau berkata ada isi rumah kini menerima bantuan sehingga RM1,800, bergantung kepada saiz keluarga, sambil menegaskan sistem penyampaian ditambah baik bagi memastikan bantuan disalurkan dengan lebih pantas dan tepat kepada golongan sasar.
Beliau turut merujuk kepada program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan berkata penerima kini menerima bantuan secara terus tanpa perlu beratur.
“Kena beratur ke untuk SARA? Tak ada. Perlu ke beratur untuk STR? Tak ada. Wang terus masuk ke dalam akaun,” katanya.
Anwar turut menyentuh langkah kerajaan menangani kos sara hidup, termasuk pelarasan harga bahan api serta kenaikan gaji penjawat awam dan anggota polis.
Beliau mempertahankan pelaksanaan reformasi subsidi bahan api oleh kerajaan, sambil berkata kerajaan telah menunaikan janjinya untuk menurunkan harga bahan api walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Ia tidak mudah, tetapi kita menunaikan janji. Malaysia kini mempunyai antara harga bahan api paling rendah di dunia,” katanya.
Anwar berkata reformasi itu memerlukan masa untuk memberikan kesan sepenuhnya, sambil mengingatkan bahawa pentadbiran terdahulu memerintah lebih enam dekad berbanding kerajaan sekarang yang baru mentadbir selama dua hingga tiga tahun.
“Mereka memerintah lebih 60 tahun. Kita baru dua atau tiga tahun. Kita tidak boleh menyelesaikan semua masalah sekali gus,” katanya.
Beliau menggesa pengundi menilai kerajaan berdasarkan hasil dasar yang dilaksanakan, sambil menambah bahawa inisiatif pembangunan seperti *Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Rapid Transit System Link (RTS Link) juga perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat.
Turut hadir pada program itu ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Abdullah, Menteri Sumber Manusia R Ramanan, dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, yang juga Ahli Parlimen Kulai.

