Nazifuddin Najib mahu melihat BN menang besar pada PRN Johor.
KLUANG: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor akan memberi isyarat rakyat terus menyokong bekas perdana menteri, Najib Razak dan berharap beliau menerima pengampunan diraja, kata anaknya, Nazifuddin.
Ketua Umno Langkawi itu mengulas naratif kemenangan besar BN di Johor akan membawa kepada pembebasan Najib.
“Kalau BN menang besar, ia menjadi isyarat bukan sahaja rakyat Johor menyokong BN dan kepimpinan negeri, tetapi mereka juga masih sayangkan ‘Bossku’ dan mengharapkan beliau dapat bersama semula dengan rakyat.
“Kalau ada yang nak letak jawatan, lebih baik letak jawatan sekarang, tak payah tunggu kita menang,” katanya dalam program Bual Bicara Santai di PDM Kampung Melayu II, malam tadi.
Bagaimanapun, Nazifuddin mengakui kemenangan BN pada PRN tidak bermakna Najib akan dibebaskan secara automatik.
“Kita bukan memilih perdana menteri. Apa yang kita mahu ialah BN menang besar.
“Kalau BN menang besar, apa salahnya kalau Bossku diampunkan dan dibebaskan? (Tetapi) Itu hak Yang di-Pertuan Agong.”
Selasa lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, beliau akan menjadi individu pertama meletak jawatan dalam Jemaah Menteri, sekiranya Najib dibebaskan dari penjara, selain tidak menolak kemungkinan DAP meninggalkan kerajaan perpaduan.
Najib, 72, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd, selepas hukuman penjara asal 12 tahun dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.
Bekas ahli Parlimen Pekan itu dijadualkan tamat hukuman penjaranya pada 23 Ogos 2028.
Najib turut disabitkan bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, di mana Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun. Beliau telah memfailkan rayuan terhadap sabitan itu.


