Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, kata debat perlu melibatkan calon yang berada pada kedudukan setara.
SRI GADING: Pakatan Harapan (PH) perlu kemuka calon menteri besar sekiranya mahu berdebat dengan Pengerusi Barisan Nasional Johor, Onn Hafiz Ghazi, menurut bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata PH perlu kemuka calon sama taraf dengan Onn Hafiz, menteri besar Johor pada penggal lalu.
“Kalau nak debat, kena sama level,” katanya ketika ditemui pemberita ketika berkempen untuk calon BN bagi DUN Parit Yaani, Najib Samuri, di Parit Besar.
“Kalau kamu (PH) sudah kenal pasti seorang bakal menteri besar Johor, walaupun tertakluk kepada perkenan istana, jika ada seorang yang sama taraf dengan Onn Hafiz, Okay lah kita boleh panggil berdebat antara calon menteri besar.”
Isu debat itu timbul selepas Maszlee Malik, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Puteri Wangsa, mengumumkan beliau menerima cadangan debat antarantya dengan Onn Hafiz, susulan cadangan sebuah halaman Facebook, WOW Malaysia, sempena PRN Johor.
Onn Hafiz bagaimanapun berkata debat terbuka antara calon bukan pendekatan sesuai kerana dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni sepanjang tempoh berkempen.
Bekas ahli majlis kerja tertinggi, Puad Zarkashi, bagaimanapun mendakwa Onn Hafiz takut berdebat dengan Maszlee.
Khairy bagaimanapun berkata debat perlu melibatkan calon yang berada pada kedudukan setara. “Di Amerika Syarikat pun, debat diadakan antara calon presiden daripada parti yang bertanding,” katanya.
“Maszlee Malik tidak mendapat pun pengesahan daripada Anwar Ibrahim (pengerusi PH) untuk menjadi menteri besar Johor.”
Maszlee adalah bekas menteri pendidikan.
Mengulas lanjut, Khairy mendakwa serangan terhadap Onn Hafiz menunjukkan beliau suatu ancaman politik dan aset terbesar BN pada PRN kali ini.
“Kalau tidak, mereka tidak akan memberi perhatian sebegitu rupa,” katanya.


