Ahli Bersatu Bandar Sri Medan bergambar bersama calon PH DUN Sri Medan Hishamuddin Ishak (duduk tengah).
PETALING JAYA: Bersatu mengecam tindakan ahlinya di Muar yang mengumumkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sri Medan pada PRN Johor, menyifatkannya sebagai sabotaj.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata dasar parti itu konsisten dengan Perikatan Nasional (PN) iaitu semua ahli dan penyokong hendaklah memberikan sokongan penuh kepada setiap calon bertanding menggunakan lambang gabungan.
“Bersatu tidak menyokong PH atau Barisan Nasional (BN) dan tindakan ini selaras dasar dan ketetapan PN. Tiada sebarang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi PN mahupun dasar rasmi PN yang mengarahkan atau membenarkan sokongan kepada PH atau BN.
“Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan peluang kemenangan mana-mana calon PN boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap usaha bersama parti komponen PN dalam menghadapi PRN Johor,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, sekumpulan kecil ahli Bersatu Bandar Sri Medan menyatakan sokongan kepada calon PH di kerusi itu atas alasan kestabilan kerajaan perpaduan.
Mereka menegaskan tidak kecewa dengan PN dan masih kekal sebagai ahli Bersatu.
Penyandang kerusi Sri Medan, Zulkurnain Kamisan daripada BN, yang akan mempertahankan DUN itu bagi penggal keempat dicabar Hishamuddin Ishak (PH) dan Rosdi Bahari daripada PAS yang mewakili PN.
PAS dan Bersatu menamatkan kerjasama politik bulan lalu tetapi masih komponen dalam PN. Namun, kedua-duanya tidak membantu antara satu sama lain dalam kempen PRN Johor.
PAS mengarahkan ahlinya menyokong BN di kerusi tidak ditandingi PN, tetapi Bersatu menyerahkan kepada penyokongnya untuk menentukan sendiri calon mahu diundi.


