Anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa selepas lori dipandunya terjunam ke dalam gaung berhampiran Jambatan Pos Blau-Lojing di Gua Musang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 45m berhampiran Jambatan Pos Blau-Lojing di Gua Musang.
Ketua Balai Bomba Gua Musang, Azrul Izzham Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.58 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Gua Musang dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, sejurus tiba di lokasi, pasukan itu mendapati lori berkenaan terjatuh ke dalam gaung berhampiran kawasan kebun, dan mendapati mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an, tersepit di bawah sebatang pokok.
Beliau berkata anggota bomba menggunakan gergaji berantai untuk mengalihkan batang pokok yang menghempap mangsa sebelum berjaya mengeluarkannya.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Sementara itu, Ketua Gua Musang Sik Choon Foo berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan itu.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa.
