Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata kelewatan projek LCS berpunca daripada audit teknikal oleh Naval Group dari Perancis membabitkan kira-kira 4,000 item yang perlu disemak semula. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, kos projek kapal tempur pesisir (LCS) tidak boleh melebihi had siling RM11.22 bilion kerana tiada dana kerajaan tambahan akan diperuntukkan untuk kerja membaik pulih atau menggantikan komponen usang.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata semua kos tambahan perlu ditanggung Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas), syarikat yang membina kapal berkenaan.
Menurutnya, PAC mengesyorkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Kewangan mengekalkan kawalan ketat ke atas perbelanjaan bagi memastikan projek bermasalah itu tidak melebihi had kos siling diluluskan.
“Kos keseluruhan kontrak kekal pada harga tetap RM11.22 bilion,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Beliau berkata, kerajaan kini menggunakan kaedah nilai terperoleh, di mana bayaran hanya dibuat berdasarkan nilai kerja fizikal disahkan, menggantikan sistem milestone lama yang terdedah kepada risiko terlebih bayar.
Katanya, kemajuan fizikal keseluruhan projek itu mencapai 75.73% setakat Disember 2025, manakala kapal pertama LCS-1 siap 82.90%.
LCS-1 menjalani ujian laut pertamanya pada 28 Jan lalu dengan kelajuan tujuh knot, tetapi penghantarannya ditangguh ke Disember, empat bulan lebih lewat daripada perancangan.
LCS-2 dijangka diserahkan pada Ogos 2027, manakala tarikh serahan LCS-3 hingga LCS-5 tidak berubah, dengan kapal terakhir dijangka siap menjelang April 2029.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, sebelum ini memberitahu Parlimen, pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal oleh Norway tidak menjejaskan jadual penyerahan LCS, yang telah dijamin oleh Lunas.
Beliau berkata, LCS masih mempunyai keupayaan lain, termasuk peperangan antikapal selam, antiudara dan elektronik serta sistem pengurusan tempur yang mengintegrasikan semua keupayaan itu dengan sistem radar dan pengesan kapal.
Mas Ermieyati berkata, kelewatan projek LCS sebahagian besarnya berpunca daripada audit teknikal Naval Group dari Perancis membabitkan kira-kira 4,000 item yang perlu disemak semula.
Jelasnya, 170 sistem utama LCS masih perlu diuji, manakala beberapa pembekal peralatan asal di Eropah bankrap selepas pandemik Covid-19, memaksa kontraktor mencari vendor alternatif dan melalui proses pensijilan semula.
Katanya, PAC turut mengesyorkan Mindef dan Tentera Laut Diraja Malaysia mengemukakan laporan kemajuan bertulis kepadanya setiap tiga bulan, manakala Lunas perlu memastikan stok peralatan kritikal sentiasa mencukupi untuk mengelakkan kelewatan berulang akibat kegagalan vendor asing.


