Peguam Negara Dusuki Mokhtar (kiri) kemuka dua persoalan undang-undang manakala Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi fail permohonan berasingan bangkit tujuh persoalan undang-undang.
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan tetapkan 8 Okt untuk dengar permohonan Peguam Negara bagi dapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan benarkan Majlis Peguam mencabar arahan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rahimah Rahim hari ini, semua pihak diarahkan memfailkan hujahan bertulis masing-masing selewat-lewatnya pada 23 Sept.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir dan peguam yang mewakili Majlis Peguam, Abhilaash Subramaniam mengesahkan tarikh pendengaran tersebut.
Peguam Negara, Dusuki Mokhtar memohon kebenaran merayu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dengan alasan kes itu membangkitkan persoalan undang-undang yang berkepentingan awam dan wajar diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.
Kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan hanya diberikan sekiranya sesuatu kes melibatkan isu perlembagaan atau persoalan undang-undang baharu yang mempunyai kepentingan awam yang mencukupi.
Dusuki mengemukakan dua persoalan undang-undang, manakala Zahid, yang turut dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan kehakiman itu, memfailkan permohonan berasingan yang membangkitkan tujuh persoalan undang-undang.
Kedua-dua permohonan itu akan didengar pada hari yang sama.
Mereka memohon keputusan Mahkamah Rayuan diketepikan dan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 dikekalkan. Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan Majlis Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan DNAA kepada Zahid pada 2023.
Pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Majlis Peguam memenuhi nilai ambang yang diperlukan untuk meneruskan cabaran ke perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi.
Hakim Faizah Jamaludin, yang bersidang bersama Lim Hock Leng dan Nadzrin Wok Nordin, memutuskan bahawa perintah Collin Lawrence Sequerah yang memberikan DNAA kepada Zahid ekoran permohonan pihak pendakwaan hanyalah perintah prosedur yang dibuat dalam perjalanan prosiding jenayah tersebut.
Zahid yang juga presiden Umno dan timbalan perdana menteri diberikan DNAA atas semua 47 pertuduhan sementara menunggu siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pada Januari, Jabatan Peguam Negara mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu yang diperolehi hasil siasatan lanjut SPRM.
